Selasa, 2 Disember 2008

USAH KHUATIR JIKA BELUM BERPUNYA


Resah. Gelisah. Seraut wajah termenung jauh. "Orang lain semua dah kahwin, tinggal aku sorang sahaja". Sekeping hati bermonolog. Monolog itu di susuli tujahan prasangka.
"Aku tak cantik ke?"
"Aku kurang bergaya ke?"
"Ataupun pasal gaji aku tak seberapa?"
"Aku tak pandai meng'ayat' agaknya"

Selasa, 25 November 2008

'Resolusi Hebat' : Hasil persidangan kita

PERSIDANGAN Guru Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan ke-3 selama empat hari di Melaka yang berakhir 6 November lalu, sebulat suara meluluskan enam resolusi untuk dipanjangkan kepada Kementerian Pelajaran bagi pertimbangan dan tindakan susulan.
Resolusi itu adalah memohon kepada kementerian melengkapkan kemudahan teknologi maklumat (ICT) seperti komputer riba dengan talian internet, di semua Unit Bimbingan dan Kaunseling setiap sekolah di seluruh negara.
Selain itu, meminta kementerian mengkaji semula peruntukan Bantuan Perkapita Unit Kaunseling dengan kadar RM 4.50 seorang kepada RM20 dan menyediakan peruntukan khas bagi menaiktaraf bilik serta kemudahan unit berkenaan untuk kesejahteraan murid.
Turut diluluskan, permohonan mewujudkan sub-unit bimbingan dan kaunseling di Sektor Hal Ehwal Murid di Kementerian Pelajaran, selain di Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan di jabatan pelajaran negeri serta Pegawai Bimbingan dan Kaunseling di pejabat pelajaran daerah.
Persidangan juga memohon kementerian menyediakan peruntukan khas bagi tujuan latihan peningkatan profesionalisme guru terbabit di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa (Program Pengantarabangsaan Sekolah).
Resolusi terakhir adalah memohon agar jawatan kaunselor Gred Terbuka di Bahagian Psikologi dan Kaunseling di peringkat kementerian, JPN dan daerah dikhususkan kepada guru memiliki latar belakang bidang berkenaan kerana lebih memahami dan menjiwai keperluan pelajar yang memerlukan perkhidmatan kaunseling.
Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan, Zam Zam Omar, berkata resolusi itu diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussien pada majlis penutupan persidangan berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.Selain itu, Zam Zam berkata, kira-kira 500 peserta persidangan juga menyatakan iltizam kepada kementerian untuk terus memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling secara profesional dalam suasana kondusif."Disamping itu, kami juga akan terus menggembleng seluruh tenaga, usaha dan kepakaran bagi menjadi peneraju utama dalam membangunkan modal insan yang mempunyai kepintaran emosi tinggi dan berakhlak mulia."Kami juga akan terus memikul tanggungjawab melaksanakan dasar, operasi, proses dan prosedur Kementerian Pelajaran dalam merealisasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan," katanya.
UNTUK DIFIKIRKAN : sesungguhnya resolusi yang diluluskan sewajarnya diterima demi meningkatkan keberkesanan perkhidmtan bimbingan dan kaunseling di sekolah, namun pada pandangan saya persidangan ini sekali lagi gagal melihat sudut kebajikan dan hala tuju profesion ini sebagai satu objektif yang perlu diperjuangan .

IKTIRAF PERANAN GURU KAUNSELING

SEBAGAI kaunselor pelajar, saya memohon perhatian Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung pekeliling pengurusan guru bimbingan dan kaunseling yang dihantar ke sekolah. Menerusi pekeliling itu, jelas memperlihatkan kebimbangan Sektor Operasi Pendidikan dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian terhadap pemindahan kaunselor ke Bahagian Psikologi dan Kaunseling.Apa yang paling penting ialah kaunselor sudah jemu dan bosan berada di bawah `bumbung lama' dan inginkan suasana baru dalam urusan pentadbiran jawatan dan bidang kerja yang lebih terjamin. Baca seterusnya.

Sabtu, 15 November 2008

PENGKID HARAM!!

Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan penampilan 'pengkid' iaitu perempuan yang menyerupai penampilan dari segi pakaian serta tingkah lakunya seperti lelaki adalah haram.


Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, pengkid atau juga digelar 'tomboy' kini menjadi satu isu dan fenomena serius di kalangan anak gadis negara ini dan ia perlu ditangani segera supaya tidak terus berkembang hingga sukar diatasi. "Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara dan dari segi hukumnya, kita menyatakan ia haram dan berharap penomena ini tidak berleluasa dan minta ibu bapa serta masyarakat melihat perkara dengan lebih serius supaya ia tidak menular dalam masyarakat.


"Malah yang lebih membimbangkan majlis fatwa ialah pengkid ini sudah melarat kepada perkara berkaitan seksual dengan meminati sesama sejenis," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-83, di sini.


Peranan kita :

Penampilan gadis pengkid yang sememangnya haram dalam Islam telah dimaklumi umum sejak dari muslim itu berada dizaman kanak-kanak. Lelaki menyerupai wanita, wanita menyerupai lelaki adalah haram dan berdosa besar. Tetapi dengan pengumuman majlis fatwa ini diharapkan mereka yang 'terlupa' akan sedar kembali dan bertaubat kepada mentaati Allah sebelum malaikat izrail mengambil nyawa, seterusnya kembali bertemu Allah dalam keadaan 'tidak bersedia'

Mengapa 'fenomena pengkid ini terjadi? Inilah persoalan yang perlu ditanya oleh semua orang yang melihat isu ini semakin menjadi-jadi. Mungkin ada yang menyatakan biarkanla mereka, itu hak mereka, bukan keluarga aku, mereka memang degil dan macam-macam lagi 'dalih' yang dikeluarkan untuk memberi reaksi.

Namun bagi seorang kaunselor, fenomena ini dilihat hasil dari faktor dalam dan persekitaran yang menggalak mereka menjadi 'pengkid'. Faktor dalaman :

1) Merasakan dirinya selamat dan tidak akan diganggu oleh lelaki . Mungkin pernah terjadi dalam sejarah pengkid ketika mereka itu 'wanita' pernah diganggu oleh lelaki atau melihat kaum sejenisnya diganggu sehingga wujud trauma dalam dirinya bahawa dengan sifat wanita yang lemah mereka akan terus diganggu dan sentiasa tidak selamat. Lantas dalam hal ini mereka membuat keputusan 'untuk selamat aku harus hilangkan ciri-ciri kewanitaan ku'.

2) Pengalaman orang yang signifikan dengan pengkid yang diperlakukan sesuka hati tanpapembelaan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Melihatkan kejadiaan ini yang tiada pembelaan 'wanita menukar wataknya kepada pengkid' kerana ingin menjadi 'hero' bagi menyelamatkan kaum wanita. Rumusannya pengkid adalah pelindung.


Faktor luaran :

1) Terdapat ibu bapa atau keluarga yang segaja melatih salah seorang daripada anak-anak mereka yang perempuan agar berwatak seperti lelaki. Ini mungkin berpunca dari hajat yang tidak kesampaian si ibu untuk memiliki anak lelaki lantas 'dikorbankan ' anak perempuanya untuk memenuhi hasratnya. Bermula dari zaman kanak-kanak si anak dipakaikan dan diajar berwatak lelaki sehinggalah anak itu besar dibiarkan walaupun mungkin sekali sekali timbul kesedaran dalam diri siibu yang perbuatan itu bertentangan dengan norma masyarakat apatah lagi nilai- nilai Islam.

2)Kurangnya pengetahuan Keagamaan yang mendalam dan diri tidak diletakkan dipersekitaran yang positif dan penuh keimanan. Remaja pengkid mungkin memiliki pengetahuan asas tentang agama dan memahami akan keharaman perbuatan ini. Namun kurangnya peringatan dan kering kontangnya jiwa dari disirami dengan bacaan alquran, peringatan hadith, alunan zikrullah interaksi dengan orang-orang soleh, akhirnya hati menjadi sakit dan nazak. Apabila hati menjadi terlalu lemah maka remaja akan menuruti hawa nafsu yang mungkin di acu oleh persekitaran dimana ia berada. Ilmu agama yang diperolehi hanyalah bersifat kognitif , ia berumabah menjadi spiritual sekiranya ilmu itu di amal dan dihayati dengan sungguh-sungguh. Dalam konteks pengkid, ilmu yang bertaraf kognitif tadi tidak mampu untuk dipraktikan lantaran nafsu yang lebih kuat menguasai kognitifnya. Pada tahap ini kognitif (akalnya) digunakan sepenuhnya untuk mencapai keinginan nafsunya sahaja.


Kepada para pembaca.. sila beri pandangan anda , terima kasih.

Isnin, 22 September 2008

" Saat itu siapakah Aku?"

"Dahulu.. saat itu... sekarang"

Dahulu aku remaja biasa,
Ada ayah tetapi ibu sudah tiada,
Pergi dan balik sekolah seperti biasa,
Matlamat hanya satu ingin menjadi pelajar berjaya,

Saat itu aku semakin matang,
Adakalanya susah kadang2 senang,
Jiwa semakin terang hati makin lapang,
Dibimbing rakan dinasihati abang,

Sekarang keadaan makin berubah,
Ujian datang terasa susah,
Waktu diri seakan ingin rebah,
BantuanNya hadir mengubat resah,

Dahulu kebimbangan tidak menggoncang hati,
berjayakah dalam peperiksaan mampukah ke universiti,
Kawan menghibur datang bersiri,
Terkadang terlupa diri kan mati,

Saat itu hadir mengubah zaman,
Kepala dililit dengan sunah serban,
Islam dan iman itulah perjuangan,
terkunci di hati di situ disimpan,

Sekarang sudah bergelar pendidik,
Ada keluarga, rumah dan kereta pun cantik,
Moga akal dan diri dikerah di setiap detik,
Agar Islam dipandang menarik,

Dahulu sungguh sudah berlalu,
Saat itu hanya tinggal sejarah,
Sekarang, realiti yang sedang berlaku,
Moga berjaya, kepadaNya diri ku serah

Nukilan hati.
23 Ramadhan 1429

Khamis, 4 September 2008

Kem Pembinaan Jati Diri UKM serlahkan potensi Tingkatan 6


UBK SMK SAAS sekali lagi menganjurkan program yang bertujuan meningkatkan dan memperkembangan potensi dan jati diripelajar. Program kali ini melibatkan 85 pelajar tingkatan 6 Atas dan 6 Rendah yang diadakan di FSSK UKM. Program ini diadakan pada 30 Ogos 2008 bermula jam 7.30pagi hingga jam 6.00ptg.


Di antara agenda program tersebut bermula dengan upacara perasmian program oleh dekan fakulti, diikuti dengan sesi pengenalan fasilitator. Aktiviti diteruskan dengan slot ceramah motivasi bertajuk menjana kecemerlangan remaja rabbani. Selepas rehat dan minum pagi aktiviti diteruskan dengan LDK 1 yang berfokuskan mengenali diri, rakan dan menguji keyakinan diri untuk membuat pendedahan kendiri didalam kalangan ahli kumpulan. Selepas makan tengahari dan solat zohor, aktiviti diteruskan dengan LDK 2 bertajuk pulau sengketa . Didalam modul ini peserta dibawa kealam konflik dalam komuniti dan akhirnya mereka belajar tentang kepelbagaian personaliti manusia dan bagaimana memahami dan mengendalikannya.


Seterusnya LDK 3 bertema budaya kampus dan perkongsian pengalaman. Melalui LDK ini peserta didedahkan dengan budaya belajar dan kehidupan di kampus dan perbezaannya dengan alam persekolahan. Barisan Fasi turut menceritakan pengalaman dan perit jerih ketika belajar di sekolah sebelum berjaya bergelar mahasiswa. Objektif LDK ini adalah untuk membuka minda peserta terhadap kepelbagaian kaedah belajar dan perlunya mereka mempersiapkan diri dengan keadaan tersebut.


Lebih kurang jam 4.45ptg, slot resolusi dijalankan dimana para peserta berkongsi di dalam kumpulan besar tentang pengalaman dan pengajaran yang mereka perolehi di sepanjang program ini. Ramai di antara mereka memberikan komen yang sangat positif. Majoriti mengharapkan pada masa akan datang supaya jangkamasa program dipanjangkan dan dibawa bermalam . Selepas slot ini mereka dibawa bersiar2 disekitar kampus sambil merakam kenangan. Kemdian mereka ke masjid untuk solat asar dan bertolak pulang lebih kurang jam 6.15 ptg.


Progarm ini walaupun singkat secara keseluruhannya mampu meningkatkan keyakinan diri, sebagai boster untuk meningkatkan keazaman belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan yang cemerlang didalam peperiksaan.


Terima kasih kepada adik-adik UKM, cikgu Halijah dan cikgu Zaidah yang membantu menggantikan tempat saya yang terpaksa pulang menguruskan jenazah ayah tercinta. Moga usaha kalian semua mendapat keredhaan Allah.

Isnin, 1 September 2008

PENGISIAN RAMADHAN


Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka.

1-Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.

2-Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

3-Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

4-Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.

5-Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Selasa, 26 Ogos 2008

Mengelak anak jadi remaja bermasalah


GEJALA sosial yang melanda masyarakat hari ini semua bertitik tolak daripada lemahnya akidah yang menjadi benteng untuk menangkis apa juga serangan bertujuan menggugat tahap keimanan serta keteguhan hati umat Islam.
Justeru, pendakwah terkenal, Siti Nor Bahyah Mahamood meminta ibu bapa memperkukuhkan akidah anak melalui didikan dengan menerapkan nilai murni menerusi contoh teladan amalan harian yang dilaksanakan sebagai Muslim sejati.
Sebagai panduan, katanya, ibu bapa boleh menjadikan wasiat Lukman al-Hakim kepada anak lelakinya untuk memimpin anak mereka membina akidah serta keyakinan dalam menghadapi hidup kian mencabar.“Didikan oleh bapa yang hebat seperti Lukman yang diceritakan dalam al-Quran adalah panduan terbaik boleh ditiru ibu bapa hari ini kerana wasiat beliau bukan untuk mencegah tetapi untuk mengelak berlaku perkara tidak diingini.
“Sebab itu, walau senang manapun ibu bapa itu, mereka wajar membiarkan anak berdikari kerana ada kalanya kesenangan boleh membawa bencana seperti dipaparkan dalam filem Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee, Anakku Sazali,” katanya.
Beliau yang memberi ceramah bertajuk ‘Mencegah lebih baik daripada menghukum’ pada majlis kuliah agama anjuran bersama Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) MKM turut menggariskan perkara perlu ada serta dielakkan dalam usaha mendidik anak remaja.
Siti Nor Bahyah berkata, kehidupan remaja hari ini banyak dipengaruhi tiga unsur iaitu hiburan (keseronokan), fesyen serta makanan yang jika tidak dikawal atau dibimbing ibu bapa boleh menyebabkan mereka terjebak dalam perkara negatif.
Katanya, tidak dinafikan naluri remaja cenderung kepada hiburan dan mereka akan menjadi resah jika tidak mendengar lagu tetapi ibu bapa bertanggungjawab menapis jenis atau bentuk hiburan yang didengar.
Begitu juga fesyen pakaian mereka yang sepatutnya mencerminkan nilai ketimuran, bukan mengambil apa saja disogokkan Barat yang ternyata tidak sesuai dengan budaya masyarakat di negara ini.
Sementara makanan ringan atau segera yang kini sebati dengan gaya hidup masyarakat hari ini turut menyumbang kepada masalah anak menjadi hiperaktif serta tidak mahu mendengar cakap ibu bapa mereka.
“Inilah tiga perkara saya kategori sebagai 3F iaitu fun, fashion, food, yang melanda anak remaja dan perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa supaya ia tidak mendatangkan masalah nanti kerana kita mahu mengambil langkah awal untuk mengelak,” katanya.
Katanya, bagi mencegah menular gejala negatif di kalangan remaja, tujuh perkara perlu diberi perhatian bukan saja ibu bapa, malah semua anggota masyarakat kerana mereka memikul tanggungjawab melahirkan generasi bertakwa dan kaya dengan nilai murni.
Tujuh perkara itu ialah menjaga solat; sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah; memberi salam; mencurahkan kasih sayang; sabar menghadapi ujian; bersungguh-sungguh dalam beramal dan mendidik diri menjadi suami, isteri, ibu, bapa serta anak yang salih.
Siti Nor Bahyah berkata, memberi salam nampak mudah dan ada kala dianggap sebagai perkara remeh sedangkan amalan itu mempunyai nilai tersirat yang perlu diketahui kerana salam adalah ucapan ahli syurga.
Katanya, selain mendapat pahala, amalan memberi salam mempunyai nilai tambah kerana ucapan salam itu sendiri sudah lengkap mengandungi doa yang memohon keselamatan, rahmat serta keberkatan.
“Kenapa anak terjebak dengan perkara negatif adalah disebabkan ketandusan kasih sayang. Akhirnya mereka mencari kasih sayang di luar dan apabila salah cari kawan, itu yang mereka melakukan perkara tidak sepatutnya.
“Oleh itu, tidak adil jika kita menghukum remaja sedangkan puncanya mungkin disebabkan daripada kita sendiri. Ibu bapa perlu banyak sabar dalam mendidik anak dan bersungguh-sungguh memastikan mereka sentiasa dibimbing ke jalan mencari keredaan Allah,” katanya.
Pada majlis yang dihadiri kakitangan MKM, ahli Puspanita MKM, pelajar peringkat diploma maktab berkenaan dan kakitangan Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Siti Nor Bahyah turut berkongsi tips dengan memberi ayat al-Quran untuk melembutkan hati anak.
Beliau berkata, ibu bapa digalakkan membacakan surah al-Hasyr, ayat 21 dan surah asy-Syura ayat 19, kemudian ditiup di ubun anak sebagai doa supaya mereka mudah mendengar kata.
Selain itu, Siti Nor Bahyah menggaris tujuh perkara yang perlu dielakkan supaya usaha mencegah anak daripada terjebak gejala negatif dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mencapai matlamat diharapkan.
Pertama, meninggalkan maksiat dan kaedah terbaik mengajak anak supaya meninggalkan perbuatan maksiat ialah melalui contoh ibu bapa sendiri yang sentiasa memelihara diri daripada terjebak dengan perbuatan tidak bermoral.
Seterusnya ialah penyakit malas, suka menonton atau membaca bahan yang sia-sia, suka atau mudah marah, membuang masa dengan melepak, makan makanan yang haram dan jangan menderhaka kepada Allah serta sesama manusia.
“Semua ini ialah perkara negatif yang perlu dihindari dan caranya ialah dengan mempelajari bagaimana untuk mengawal diri. Jika anak kita malas belajar, beri dorongan dengan menjanjikan hadiah seperti yang saya lakukan dengan anak saya.
“Hilangkan sifat cepat marah atau jika hendak marah, biar bertempat. Elakkan makanan haram bukan saja daripada aspek bahan yang dimakan tetapi punca rezeki dipastikan daripada sumber yang halal,” katanya.
Siti Nor Bahyah turut berpesan kepada hadirin supaya jangan sekali-kali menjadi anak derhaka kepada ibu bapa kerana balasannya cukup hebat dengan menceritakan kisah kecacatan seorang anak disebabkan menderhaka kepada ibunya.
( oleh Asliza Hassan)

BICARA 1 : Apa ertinya saya seorang Islam


" Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun. Buktinya jelas padakejadian alam ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Adalah mustahil sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa.


Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan selain Allah tentulah kedua-duanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arasy daripada apa yang mereka sifatkan. (Al Anbiya' 21 : 22) "


Komentar : Bagi kepercayaan dan kefahaman seorang muslim, segala yang wujud di alam ini ( bumi, planet, angkasalepas, dan dirinya) adalah dicipta oleh Allah swt. Ia bukan sahaja dicipta malahan ditadbir, disusun atur dan dikendalikan menurut perintah dan kehendak Allah yang Kuasa dan Satu (Esa).

Muslim (manusia) memahami bahawa segala sesuatu datangnya dari Allah, tuhannya. Datangnya itu mungkin berupa kesusahan atau pun kesenangan. kesusahan seperti kematian, kegagalan, kehilangan dan sebagainya. Kesenangan pula mungkin berupa kejayaan, kelahiran anak, kenaikan pangkat, kejayaan dalam peperiksaan dan segala yang menggembirakan hati seseorang.

Seorang manusia muslim percaya segala yang datang dari tuhan itu adalah kebaikan baginya dan penuh hikmahnya walaupun secara zahirnya ia memeritkan (kesusahan). Namun ukuran kejayaan, kecemerlangan seorang manusia itu bukan dilihat dari banyaknya kesenangan yang diperolehi tetapi bagaimana ia bersabar, redha dan taatnya seseorang tadi dalam menghadapi segala ujian yang diberikan( samada kesenangan / kesusahan). * Allah tidak melihat harta atau rupa paras kamu tetapi yang tinggi darjatnya di sisi Allah ialah yang paling Bertaqwa.
Para pembaca dijemput membuat ulasan.

Bicara ciklimuslim



Assalamualaikum wbt. dikesempatan ini saya ingin memanjatkansetinggi-tinggi rasa syukur kehadrat Allah swt di atas kemunculan blog baru saya ini. Blog ini insayallah akan dibangunkan dengan penuh rasa bertanggungjawab dan penuh amanah sebagai salah satu blog kaunseling berciri islam. Mudah mudahan Allah akan memberikan taufiq dan hidayahnya kepada saya agar blog ini akan menjadi satu wadah baru bagi dunia kaunseling , warga pendidikan dan seluruh para pencinta Islam dan yang baru ingin berkenalan dengan Islam. Sesungguhnya segala yang berlaku diatas muka bumi ini semuanya adalah ketentuan dan telah diatur oleh Tuhan (sunnatullah atau tabii alam ).

Hal ini termasuklah tabii manusia dalam meneruskan kehidupan, berhadapandengan cabaran dan ujian, menghadapi perubahan persekitaran dan pelbagai lagi tikah laku (psikologi). InsayaAllah melalui blog ini akan dibangunkan aliran psikologi yang bercirikan Islam agar matlamat mempelajari ilmu, memahami alam manusia ini dapat juruskan bagi melahirkan generasi yang hebat sepertimana zaman para sahabat ridhwanullah'alaihiajma'in, iaitu generasi Al-Quran.
Akhirkata jutaan terima kasih kepada sahabat ku Norish yang telah memperkenalkan dunia dan ilmu blog kepada saya, yang banyak memberikan bimbingan ke arah menjayakan inspirasi kaunselor kearah lebih berdaya saing dan glokal. Mudah-mudahan Allah memberikan limpah kurnia kepada beliau.Amin..