Selasa, 26 Ogos 2008

Mengelak anak jadi remaja bermasalah


GEJALA sosial yang melanda masyarakat hari ini semua bertitik tolak daripada lemahnya akidah yang menjadi benteng untuk menangkis apa juga serangan bertujuan menggugat tahap keimanan serta keteguhan hati umat Islam.
Justeru, pendakwah terkenal, Siti Nor Bahyah Mahamood meminta ibu bapa memperkukuhkan akidah anak melalui didikan dengan menerapkan nilai murni menerusi contoh teladan amalan harian yang dilaksanakan sebagai Muslim sejati.
Sebagai panduan, katanya, ibu bapa boleh menjadikan wasiat Lukman al-Hakim kepada anak lelakinya untuk memimpin anak mereka membina akidah serta keyakinan dalam menghadapi hidup kian mencabar.“Didikan oleh bapa yang hebat seperti Lukman yang diceritakan dalam al-Quran adalah panduan terbaik boleh ditiru ibu bapa hari ini kerana wasiat beliau bukan untuk mencegah tetapi untuk mengelak berlaku perkara tidak diingini.
“Sebab itu, walau senang manapun ibu bapa itu, mereka wajar membiarkan anak berdikari kerana ada kalanya kesenangan boleh membawa bencana seperti dipaparkan dalam filem Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee, Anakku Sazali,” katanya.
Beliau yang memberi ceramah bertajuk ‘Mencegah lebih baik daripada menghukum’ pada majlis kuliah agama anjuran bersama Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) MKM turut menggariskan perkara perlu ada serta dielakkan dalam usaha mendidik anak remaja.
Siti Nor Bahyah berkata, kehidupan remaja hari ini banyak dipengaruhi tiga unsur iaitu hiburan (keseronokan), fesyen serta makanan yang jika tidak dikawal atau dibimbing ibu bapa boleh menyebabkan mereka terjebak dalam perkara negatif.
Katanya, tidak dinafikan naluri remaja cenderung kepada hiburan dan mereka akan menjadi resah jika tidak mendengar lagu tetapi ibu bapa bertanggungjawab menapis jenis atau bentuk hiburan yang didengar.
Begitu juga fesyen pakaian mereka yang sepatutnya mencerminkan nilai ketimuran, bukan mengambil apa saja disogokkan Barat yang ternyata tidak sesuai dengan budaya masyarakat di negara ini.
Sementara makanan ringan atau segera yang kini sebati dengan gaya hidup masyarakat hari ini turut menyumbang kepada masalah anak menjadi hiperaktif serta tidak mahu mendengar cakap ibu bapa mereka.
“Inilah tiga perkara saya kategori sebagai 3F iaitu fun, fashion, food, yang melanda anak remaja dan perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa supaya ia tidak mendatangkan masalah nanti kerana kita mahu mengambil langkah awal untuk mengelak,” katanya.
Katanya, bagi mencegah menular gejala negatif di kalangan remaja, tujuh perkara perlu diberi perhatian bukan saja ibu bapa, malah semua anggota masyarakat kerana mereka memikul tanggungjawab melahirkan generasi bertakwa dan kaya dengan nilai murni.
Tujuh perkara itu ialah menjaga solat; sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah; memberi salam; mencurahkan kasih sayang; sabar menghadapi ujian; bersungguh-sungguh dalam beramal dan mendidik diri menjadi suami, isteri, ibu, bapa serta anak yang salih.
Siti Nor Bahyah berkata, memberi salam nampak mudah dan ada kala dianggap sebagai perkara remeh sedangkan amalan itu mempunyai nilai tersirat yang perlu diketahui kerana salam adalah ucapan ahli syurga.
Katanya, selain mendapat pahala, amalan memberi salam mempunyai nilai tambah kerana ucapan salam itu sendiri sudah lengkap mengandungi doa yang memohon keselamatan, rahmat serta keberkatan.
“Kenapa anak terjebak dengan perkara negatif adalah disebabkan ketandusan kasih sayang. Akhirnya mereka mencari kasih sayang di luar dan apabila salah cari kawan, itu yang mereka melakukan perkara tidak sepatutnya.
“Oleh itu, tidak adil jika kita menghukum remaja sedangkan puncanya mungkin disebabkan daripada kita sendiri. Ibu bapa perlu banyak sabar dalam mendidik anak dan bersungguh-sungguh memastikan mereka sentiasa dibimbing ke jalan mencari keredaan Allah,” katanya.
Pada majlis yang dihadiri kakitangan MKM, ahli Puspanita MKM, pelajar peringkat diploma maktab berkenaan dan kakitangan Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Siti Nor Bahyah turut berkongsi tips dengan memberi ayat al-Quran untuk melembutkan hati anak.
Beliau berkata, ibu bapa digalakkan membacakan surah al-Hasyr, ayat 21 dan surah asy-Syura ayat 19, kemudian ditiup di ubun anak sebagai doa supaya mereka mudah mendengar kata.
Selain itu, Siti Nor Bahyah menggaris tujuh perkara yang perlu dielakkan supaya usaha mencegah anak daripada terjebak gejala negatif dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mencapai matlamat diharapkan.
Pertama, meninggalkan maksiat dan kaedah terbaik mengajak anak supaya meninggalkan perbuatan maksiat ialah melalui contoh ibu bapa sendiri yang sentiasa memelihara diri daripada terjebak dengan perbuatan tidak bermoral.
Seterusnya ialah penyakit malas, suka menonton atau membaca bahan yang sia-sia, suka atau mudah marah, membuang masa dengan melepak, makan makanan yang haram dan jangan menderhaka kepada Allah serta sesama manusia.
“Semua ini ialah perkara negatif yang perlu dihindari dan caranya ialah dengan mempelajari bagaimana untuk mengawal diri. Jika anak kita malas belajar, beri dorongan dengan menjanjikan hadiah seperti yang saya lakukan dengan anak saya.
“Hilangkan sifat cepat marah atau jika hendak marah, biar bertempat. Elakkan makanan haram bukan saja daripada aspek bahan yang dimakan tetapi punca rezeki dipastikan daripada sumber yang halal,” katanya.
Siti Nor Bahyah turut berpesan kepada hadirin supaya jangan sekali-kali menjadi anak derhaka kepada ibu bapa kerana balasannya cukup hebat dengan menceritakan kisah kecacatan seorang anak disebabkan menderhaka kepada ibunya.
( oleh Asliza Hassan)

BICARA 1 : Apa ertinya saya seorang Islam


" Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun. Buktinya jelas padakejadian alam ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Adalah mustahil sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa.


Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan selain Allah tentulah kedua-duanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arasy daripada apa yang mereka sifatkan. (Al Anbiya' 21 : 22) "


Komentar : Bagi kepercayaan dan kefahaman seorang muslim, segala yang wujud di alam ini ( bumi, planet, angkasalepas, dan dirinya) adalah dicipta oleh Allah swt. Ia bukan sahaja dicipta malahan ditadbir, disusun atur dan dikendalikan menurut perintah dan kehendak Allah yang Kuasa dan Satu (Esa).

Muslim (manusia) memahami bahawa segala sesuatu datangnya dari Allah, tuhannya. Datangnya itu mungkin berupa kesusahan atau pun kesenangan. kesusahan seperti kematian, kegagalan, kehilangan dan sebagainya. Kesenangan pula mungkin berupa kejayaan, kelahiran anak, kenaikan pangkat, kejayaan dalam peperiksaan dan segala yang menggembirakan hati seseorang.

Seorang manusia muslim percaya segala yang datang dari tuhan itu adalah kebaikan baginya dan penuh hikmahnya walaupun secara zahirnya ia memeritkan (kesusahan). Namun ukuran kejayaan, kecemerlangan seorang manusia itu bukan dilihat dari banyaknya kesenangan yang diperolehi tetapi bagaimana ia bersabar, redha dan taatnya seseorang tadi dalam menghadapi segala ujian yang diberikan( samada kesenangan / kesusahan). * Allah tidak melihat harta atau rupa paras kamu tetapi yang tinggi darjatnya di sisi Allah ialah yang paling Bertaqwa.
Para pembaca dijemput membuat ulasan.

Bicara ciklimuslim



Assalamualaikum wbt. dikesempatan ini saya ingin memanjatkansetinggi-tinggi rasa syukur kehadrat Allah swt di atas kemunculan blog baru saya ini. Blog ini insayallah akan dibangunkan dengan penuh rasa bertanggungjawab dan penuh amanah sebagai salah satu blog kaunseling berciri islam. Mudah mudahan Allah akan memberikan taufiq dan hidayahnya kepada saya agar blog ini akan menjadi satu wadah baru bagi dunia kaunseling , warga pendidikan dan seluruh para pencinta Islam dan yang baru ingin berkenalan dengan Islam. Sesungguhnya segala yang berlaku diatas muka bumi ini semuanya adalah ketentuan dan telah diatur oleh Tuhan (sunnatullah atau tabii alam ).

Hal ini termasuklah tabii manusia dalam meneruskan kehidupan, berhadapandengan cabaran dan ujian, menghadapi perubahan persekitaran dan pelbagai lagi tikah laku (psikologi). InsayaAllah melalui blog ini akan dibangunkan aliran psikologi yang bercirikan Islam agar matlamat mempelajari ilmu, memahami alam manusia ini dapat juruskan bagi melahirkan generasi yang hebat sepertimana zaman para sahabat ridhwanullah'alaihiajma'in, iaitu generasi Al-Quran.
Akhirkata jutaan terima kasih kepada sahabat ku Norish yang telah memperkenalkan dunia dan ilmu blog kepada saya, yang banyak memberikan bimbingan ke arah menjayakan inspirasi kaunselor kearah lebih berdaya saing dan glokal. Mudah-mudahan Allah memberikan limpah kurnia kepada beliau.Amin..