Selasa, 25 November 2008

'Resolusi Hebat' : Hasil persidangan kita

PERSIDANGAN Guru Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan ke-3 selama empat hari di Melaka yang berakhir 6 November lalu, sebulat suara meluluskan enam resolusi untuk dipanjangkan kepada Kementerian Pelajaran bagi pertimbangan dan tindakan susulan.
Resolusi itu adalah memohon kepada kementerian melengkapkan kemudahan teknologi maklumat (ICT) seperti komputer riba dengan talian internet, di semua Unit Bimbingan dan Kaunseling setiap sekolah di seluruh negara.
Selain itu, meminta kementerian mengkaji semula peruntukan Bantuan Perkapita Unit Kaunseling dengan kadar RM 4.50 seorang kepada RM20 dan menyediakan peruntukan khas bagi menaiktaraf bilik serta kemudahan unit berkenaan untuk kesejahteraan murid.
Turut diluluskan, permohonan mewujudkan sub-unit bimbingan dan kaunseling di Sektor Hal Ehwal Murid di Kementerian Pelajaran, selain di Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan di jabatan pelajaran negeri serta Pegawai Bimbingan dan Kaunseling di pejabat pelajaran daerah.
Persidangan juga memohon kementerian menyediakan peruntukan khas bagi tujuan latihan peningkatan profesionalisme guru terbabit di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa (Program Pengantarabangsaan Sekolah).
Resolusi terakhir adalah memohon agar jawatan kaunselor Gred Terbuka di Bahagian Psikologi dan Kaunseling di peringkat kementerian, JPN dan daerah dikhususkan kepada guru memiliki latar belakang bidang berkenaan kerana lebih memahami dan menjiwai keperluan pelajar yang memerlukan perkhidmatan kaunseling.
Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan, Zam Zam Omar, berkata resolusi itu diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussien pada majlis penutupan persidangan berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.Selain itu, Zam Zam berkata, kira-kira 500 peserta persidangan juga menyatakan iltizam kepada kementerian untuk terus memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling secara profesional dalam suasana kondusif."Disamping itu, kami juga akan terus menggembleng seluruh tenaga, usaha dan kepakaran bagi menjadi peneraju utama dalam membangunkan modal insan yang mempunyai kepintaran emosi tinggi dan berakhlak mulia."Kami juga akan terus memikul tanggungjawab melaksanakan dasar, operasi, proses dan prosedur Kementerian Pelajaran dalam merealisasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan," katanya.
UNTUK DIFIKIRKAN : sesungguhnya resolusi yang diluluskan sewajarnya diterima demi meningkatkan keberkesanan perkhidmtan bimbingan dan kaunseling di sekolah, namun pada pandangan saya persidangan ini sekali lagi gagal melihat sudut kebajikan dan hala tuju profesion ini sebagai satu objektif yang perlu diperjuangan .

Tiada ulasan: